Perutusan Pengarah

 UCAPAN YBRS. DR. KULDIP KAUR

PENGARAH HOSPITAL SUNGAI BULOH

 

PADA 12 MEI 2021 (RABU) SEMPENA HARI JURURAWAT (NURSES DAY)


Selamat Sejahtera dan Selamat Pagi kepada Ketua Penyelia Jururawat, Matron Lai Yik Yin, para Matron, Sister dan semua jururawat wanita dan lelaki Hospital Sungai Buloh yang dikasihi sekalian

Apa khabar semua? Saya berharap agar semua jururawat hospital berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Hari ini 12 Mei 2021 (Rabu), merupakan hari yang sungguh bermakna buat kita semua, khususnya anggota kesihatan yang bergelar jururawat, apabila kita bersama-sama meraikan Hari Jururawat yang bertemakan Nurses: A Voice to Lead – A Vision for Future Healthcare.

Tuan/Puan yang diraikan sekalian,

Secara jujurnya saya suka ingin menyatakan di sini bahawa saya bersama-sama dengan barisan Pengurusan Tertinggi Hospital, amat berbangga dan menyanjung tinggi komitmen para jururawat yang bertugas di hospital ini, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19 yang sungguh mencabar sejak 25 Januari 2020 yang lalu.

Saya sedar dan memahami bahawa para jururawat, yang merupakan srikandi dan perwira, bukan sahaja mengharungi tugasan mencabar saban hari demi menggalas amanah dengan penuh tekad dan semangat, malahan di sebaliknya, merupakan seorang isteri, suami, ibu, bapa dan juga anak. Pastinya, ahli keluarga tuan/puan amat memahami dan menyokong kerjaya serta perjuangan tuan/puan demi kesejahteraan negara kita yang tercinta ini. Meskipun ada yang tinggal berjauhan dari keluarga masing-masing, usahlah dikhuatirkan, kerana walau “jauh di mata tetapi masih dekat di hati” malahan tetap dalam ingatan dan doa tulus ikhlas mereka juga.

 

Tuan/Puan yang dikasihi sekalian,

Saya menyeru kepada semua jururawat agar sentiasa berfikiran positif dan menyahut cabaran dalam tugasan dengan penuh membina, di mana setiap situasi tugasan kita, pastinya ada cetusan idea untuk lebih inovatif dalam menambah baik perkhidmatan kita.

Ketahuilah tuan/puan semua, bahawa selaku Pengarah, saya sering berbincang dan menerima input bukan sahaja daripada Matron Lai dan Matron-Matron, malahan juga barisan jururawat yang lain serta anggota kesihatan yang lain misalnya Pegawai Perubatan dan juga Penyelia.

Saya amat kagum mendengar dan melihat bagaimana para jururawat bertugas mengendalikan perawatan dan penjagaan para pesakit kita, yang pastinya terdapat suka dan duka serta pelbagai situasi sama ada di wad atau klinik. Tidak dinafikan, terdapat tugas yang merupakan rutin dan mungkin kita akan terasa ralat apabila kerap melaksanakannya. Namun begitu, percayalah satu kepuasan dan keseronokan dapat dicapai apabila diselesaikan dengan baik, berhemah dan penuh senyuman, dan pesakit pula menghargai perkhidmatan tersebut dengan lafaz ucapan “terima kasih” yang mendamaikan perasaan.

 

Tuan/Puan,

Bagi para jururawat yang beragama Islam, hari ini merupakan pengakhiran bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Saya berharap tuan/puan telah dapat melaksanakan pelbagai ibadah sebagaimana yang wajar dengan keperluan masing-masing. Seterusnya esok ialah 1 Syawal, di mana Hari Raya Aidilfitri akan disambut, tetapi perlu dengan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Meskipun begitu, diharapkan perkara ini tidak merencatkan sambutan tuan/puan. Kita tetap memanjatkan rasa kesyukuran kerana masih boleh menyambutnya dengan suasana aman tenteram jika dibandingkan dengan negara lain yang mempunyai pergolakan tertentu.

Tuan/Puan,

Akhir kata, saya bersama-sama dengan Pengurusan Hospital Sungai Buloh, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga jururawat Hospital Sungai Buloh. Sebelum mengundurkan diri, izinkan saya berpantun yang berikut:

“Yang kurik itu kendi

Yang merah itu saga

Yang cantik itu budi

Yang indah itu bahasa”

 

“Di langit ada pelangi

Tak lupa ku hitung warnanya

Cukup sekian dari kami

Terima kasih perhatiannya”

 

Selamat Hari Jururawat dan Selamat Hari Raya Aidilifitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.