Jabatan Forensik

Pengenalan

Jabatan Perubatan Forensik beroperasi semenjak 14 September 2006 berdasarkan keperluan dalam Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memerlukan khidmat siasatan kematian bagi kes-kes penyiasatan medikolegal. Bagi mencapai matlamat perkhidmatan, Jabatan Perubatan Forensik dianggotai oleh Pakar Perubatan Forensik, Pegawai Perubatan, Pegawai Sains Forensik, Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan.

Selain daripada menjalankan pemeriksaan bedah siasat, peranan utama Jabatan Perubatan Forensik ialah pengurusan kematian di dalam hospital. Pihak waris perlu berurusan dengan Jabatan Perubatan Forensik bagi proses menuntut mayat. Bukan itu sahaja, pihak jabatan juga mengendalikan bahagian anggota badan yang diamputasi semasa pembedahan untuk dituntut oleh waris yang terlibat.

Jabatan Perubatan Forensik juga adalah organisasi yang menyediakan platform untuk pembelajaran dalam bidang sains forensik dan perubatan forensik kepada para pelajar perubatan, pegawai perubatan siswazah, penolong pegawai perubatan (pos basik), pelajar-pelajar universiti dalam bidang sains forensik dan makmal serta lain-lain individu yang berminat (dengan kebenaran Ketua Jabatan). Jabatan ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Penyelarasan Khusus Ijazah Lanjutan Perubatan Universiti-universiti Tempatan sebagai Pusat Latihan Sarjana Patologi (Patologi Forensik).

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemeriksaan bedah siasat, jabatan juga menyediakan perkhidmatan Makmal Perubatan Forensik. Makmal ini menjalankan analisis toksikologi forensik dan histologi forensik. Sampel yang diterima adalah dari pemeriksaan bedah siasat dan klinikal. Makmal Perubatan Forensik ini telah dijadikan makmal rujukan bagi analisis kandungan metanol bagi sampel klinikal.

Jabatan ini mempunyai tiga bilik bedah siasat, 18 peti simpanan mayat dewasa dan 10 peti simpanan mayat bayi, makmal, ruangan pembersihan / mandi mayat dan ruangan pengurusan / kafan mayat. Terdapat juga bilik runding cara yang digunakan oleh pakar perubatan / pegawai perubatan untuk mendapatkan maklumat / perbincangan bersama pegawai penyiasat dan waris serta lain-lain individu yang berkenaan. Fasiliti ini juga dilengkapi dengan kaunter untuk menerima makluman kematian, mendaftarkannya dan menyerahkannya kepada waris.

Misi

Menyediakan perkhidmatan perubatan forensik yang cemerlang, dinamik, menggunakan teknologi terkini dengan anggota kerja yang berilmu, berjiwa murni, peka terhadap keperluan pelanggan berteraskan budaya kualiti, kerja berpasukan, dan profesionalisma berlandaskan sistem perundangan negara.

Visi

Memberikan perkhidmatan perubatan forensik dan perundingan yang cepat, tepat dan cekap berlandaskan sistem pengurusan yang berkualiti dan memenuhi kepuasan pelanggan.

Objektif Jabatan

  • Meningkatkan taraf perkhidmatan perubatan forensik di Malaysia bagi menyokong sistem perundangan negara.
  • Menyediakan perkhidmatan perubatan forensik yang menyeluruh dan berkecuali demi keadilan.
  • Meningkatkan kemahiran dan kecekapan serta menggalakkan pengkhususan dalam kalangan anggota jabatan bagi pengendalian kes-kes medikolegal dengan lebih efektif.
  • Memberikan khidmat nasihat dan rundingcara, khidmat pakar dan pengendalian mayat yang lebih cekap dan mahir.
  • Meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan menggunakan teknologi terkini untuk membantu siasatan kes jenayah.
  • Menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan forensik untuk meningkatkan perkhidmatan yang menyeluruh.
  • Mengadakan hubungan inter dan intra jabatan yang terlibat berkaitan dengan masalah forensik.
  • Menjalankan analisis toksikologi, histopatologi dan antropologi forensik.

Perkhidmatan

  1. Pengurusan Mayat
    • Mengambil mayat dari wad, Jabatan Kecemasan dan menerima mayat (BID) dari pihak polis.
    • Mendaftarkan mayat yang diterima dari wad, Jabatan Kecemasan dan pihak polis.
    • Menyimpan mayat di peti penyimpanan mayat , jika perlu.
    • Menerima anggota badan diamputasi dari wad dan menyimpannya di peti simpanan anggota tubuh.
    • Menyerahkan mayat dan anggota badan kepada waris.
    • Menguruskan mayat dan anggota badan tidak dituntut.
    • Menguruskan operasi ‘tissue/organ procurement’ bagi pendermaan organ dari kes-kes kematian di wad dan kes-kes bedah siasat.
  1. Pemeriksaan Bedah Siasat
    • Menjalankan pemeriksaan bedah siasat medikolegal dan klinikal.
    • Mengambil, menyimpan dan menyerahkan spesimen medikolegal untuk ujian toksikologi dan histologi forensik kepada makmal yang berkenaan.
    • Menyediakan laporan bedah siasat.
    • Memberi keterangan sebagai saksi yang disapina di mahkamah.
  1. Pemeriksaan Klinikal Forensik
    • Menjalankan pemeriksaan klinikal forensik bagi kes-kes berkaitan (serangan seksual, pukul dan sebagainya).
    • Mengambil, menyimpan dan menyerahkan spesimen berkaitan untuk ujian selanjutnya kepada makmal yang berkenaan.
    • Menyediakan laporan pemeriksaan klinikal.
    • Memberi keterangan sebagai saksi yang disapina di mahkamah.
  1. Pengujian Spesimen Medikolegal 
    • Menerima dan menyimpan sampel daripada pemeriksaan bedah siasat dan juga klinikal.
    • Menjalankan analisis yang berkenaan (Histologi Forensik dan / atau Toksikologi Forensik).
    • Menyediakan dan menyimpan blok tisu serta slaid histologi, dan menyerahkannya kepada pegawai perubatan yang terlibat.
    • Menyediakan laporan analisis toksikologi dan menyerahkannya kepada pegawai perubatan atau jabatan / hospital yang terlibat. 
  1. Siasatan tempat Kejadian Jenayah 
    • Menjalankan siasatan di tempat kejadian jenayah dengan di pantau (keselamatan) oleh pihak Polis DiRaja Malaysia.
    • Mengambil gambar-gambar lokasi kejadian jenayah.
    • Mendapatkan keterangan saksi dan / atau suspek kes jenayah yang berkaitan.
    • Merekonstruksi kejadian jenayah berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan-keterangan yang diperolehi.
  1. Pemeriksaan Antropologi Forensik 
    • Menerima sampel tulang / skeletal remains daripada pihak Polis DiRaja Malaysia.
    • Menjalankan proses pembersihan tulang.
    • Menjalankan proses pemeriksaan tulang.
    • Mendapatkan sampel DNA daripada tinggalan tulang, jika ada.
    • Menghantar sampel-sampel berkaitan (ulat berengga / maggot, pupa, larvae, serangga dewasa) ke makmal yang berkaitan untuk pemeriksaan lanjutan (contoh: entomologi forensik).
  1.  Perkhidmatan Khas: Pengurusan Bencana Ramai Mangsa dan Kematian Akibat Penyakit Berjangkit
    • Penglibatan dalam pengurusan bencana ramai mangsa di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, jika diperlukan.
    • Menjalankan proses pengecaman dan pengenalpastian identiti bagi mangsa-mangsa terlibat (disaster victim identification – DVI).
    • Menguruskan mayat mangsa jangkitan penyakit berjangkit mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Prosedur Operasi Standard.

Jadual Operasi Jabatan

Bil.
Perkhidmatan Utama
Masa
1 Pengurusan Mayat

Pada hari bekerja mengikut waktu pejabat iaitu:
Isnin - Jumaat : 8.00 pagi - 5.00 petang

Selepas waktu pejabat / Sabtu / Ahad / Kelepasan Am, perkhidmatan diberikan oleh pegawai yang bertugas secara atas panggilan.

2 Pemeriksaan Bedah Siasat
3 Pengujian Spesimen Medikolegal

Pada hari bekerja mengikut waktu pejabat iaitu:
Isnin - Jumaat : 8.00 pagi - 4.30 petang

Semua sampel boleh dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik pada bila-bila masa (24 jam - 7 hari). Sila berhubung dengan pegawai yang bertugas di Kaunter Jabatan


Direktori

Talian Utama   :  03-61454333 sambungan 3100 (Kaunter Jabatan)
 Faks  : 03-61454222 

No
Nama
Jawatan
Samb
Email
1 Dr. Rohayu Binti Shahar Adnan Ketua Jabatan Perubatan Forensik 3113 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
2 Dr. Tan Ran Zhi Pakar Perubatan Forensik 3108 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
3 Dr. Khairul Adli Bin Nikman Ketua Makmal Perubatan Forensik 3105 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
4 Encik Ahmad Badri Bin Ismail Penyelia Jabatan Perubatan Forensik 3110 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
5 Makmal Perubatan Forensik (PKKN) - 1113 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.